5 Makanan Tradisi Sarawak

5 Makanan Tradisi Sarawak

Sarawak adalah salah satu negeri dalam kepulauan Borneo yang kaya dengan masakan tradisi yang menarik dan lain dari semenanjung. Selalu yang kita nampak ialah kek lapis sarawak dan mee kolok. Kalau tercari-cari apa lagi menu Malaysia timur yang nak dimasak untuk hari ini, berikut ialah 5 resepi makanan tradisi Sarawak yang patut dicuba !

UMAI

Umai adalah masakan tradisi masyarakat Iban di Sarawak. Ianya tidak dimasak, so kalau tak ada gas kat rumah tu still boleh buat. Ikan tersebut akan separa masak bersama bahan-bahan yang digaulkan, menarik bukan ? So macam mana cara membuatnya, ha boleh refer dibawah.

Bahan-Bahan :

  • Ikan Tenggiri 2-3 ketul
  • Bawang Merah 4 biji
  • Bawang Putih 2 ulas
  • Halia 1 inci
  • Bunga Kantan Sekuntum
  • Limau Nipis 5 biji diperah jusnya
  • 1 Sudu Besar Cuka
  • Cili Padi 5 biji
  • Garam dan Gula Secubit

Cara Membuatnya :

  1. Potong dadu ikan tenggiri
  2. Hiris halus bawang merah, bawang putih, halia, bunga kantan dan cili padi.
  3. Gaul semua bahan hiris dengan ikan tenggiri tadi
  4. Masukkan cuka, jus limau nipis, garam dan gula dan gaul sebati

Sedia untuk dihidang sbagai kerabu atau lauk tambahan.

PANSUH MANOK

Pansuh Manok bermakna ayam buluh dalam bahasa Iban, jadi untuk memasak menu ni, buluh diperlukan. Caranya tidaklah susah, tetapi perlu ada tempat yang sesuai untuk membakar. Sp, harus dibakar diluar rumah ye. Jangan sampai terbakar rumah pulak. Adakah medium lain boleh digantikan selain buluh, jawapannya boleh. Tetapi, sekiranya dimasak di atas dapur, rasa dan aromanya tidak sama dan hilanglah uniknya. Berikut ialah cara menyediakan Pansuh Manok :

Bahan-bahan :

  • Buluh Besar untuk dibakar (sama seperti buluh lemang)
  • Ayam Seekor – potong halus
  • 3 inci Halia hiris tumbuk
  • Bawang Merah 4 biji tumbuk
  • Bawang Putih 2 ulas tumbuk
  • Serai 2 batang tumbuk
  • Daun Kesum Segenggam
  • Bunga kantan Sekuntum hiris
  • Beberapa helai Daun Ubi Kayu
  • Garam

Cara Membuatnya :

  1. Potong halus ayam tadi dan bersihkan
  2. Tumbuk kasar bawang merah, bawang putih, halia dan serai
  3. Gaulkan bahan yang ditumbuk tadi dengan ayam
  4. Hiris bunga kantan dan daun kesum, masukkan dan gaul sebati.
  5. Masukkan garam secukup rasa dan ajinomoto jika mahu dan gaulkan
  6. Masukkan semua bahan tadi ke dalam buluh
  7. Tutup dengan daun ubi kayu
  8. Bakar buluh yang berisi ayam tadi seperti lemang lebih kurang 45 minit sehingga ayam masak

Setelah masak, keluarkan dari buluh dan hidangkan, pasti terangkat makan dengan nasi panas.

KEK BELACAN

Pelik namanya, guna belacan ke kek ni ?. Sebenarnya tidak, ia dipanggil kek belacan kerana tekstur dan warnanya yang seakan belacan. Tetapi rasanya tidak sama ye. Selalu dihidangkan di Hari Gawai dan Hari Raya,terutamanya untuk yang mahukan kelainan dari kek lapis Sarawak. Sila rujuk dibawah untuk cara menyediakannya.

Bahan – bahan :

  • Mentega 250gram
  • Telur 10 biji
  • 1 tin Susu Pekat Manis
  • 1 cawan Gula Halus
  • 1 tin Serikaya
  • 1 tin kecil Nestle Cream
  • 1 paket kecil Horlicks
  • 1 paket kecil Milo
  • 2 cawan Tepung Gandum
  • 1 sudu kecil Nescafe
  • 1 sudu teh Esen Vanila
  • 1 sudu besar Serbuk Koko
  • Browning Sugar secukupnya

Cara Membuatnya:

  1. Panaskan air untuk mengukus
  2. Pukul mentega dan gula halus sehingga gebu
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil dipukul
  4. Masukkan esen vanila, susu pekat manis, serikaya, nestle cream dan pukul sebati
  5. Masukkan pula horlicks, milo, serbuk koko dan nescafe, kacau sebati bahan tersebut
  6. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit
  7. Masukkan pula browning sugar sehingga adunan tersebut berwarna kehitaman
  8. Gaul semuanya sehingga sebati
  9. Sediakan loyang yang telah digris dengan mentega dan tepung
  10. Masukkan adunan ke dalam loyang dan tutup dengan aluminium foil
  11. Kukus sehingga 5 jam

Siap dan boleh dipotong dan dihidang, dengan secawan teh O kurang manis, slurrp!

SUP AYAM TERUNG DAYAK

Terung Dayak atau juga dipanggil Buah Dabai, Terung Iban atau Terung Asam banyak ditanam di Sarawak. Susah sikit nak jumpa di semenanjung. Ada yang mengatakan ianya boleh dijumpai di Pahang dan Johor tetapi sangat rare. Kalau pergi Sarawak, especially di pasar Satok, bolehlah beli terung dayak ni untuk dimasak. Dibawah ni ialah salah satu menu makanan Sarawak yang menggunakan sayuran eksotik ini.

Bahan – bahan :

  • Ayam 1/2 ekor
  • 4 biji Terung Dayak dibelah 4
  • 2 batang Serai diketuk
  • Bawang Putih 2 ulas
  • Bawang Merah 4 biji
  • 1 inci Halia
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:

  1. Potong halus ayam tadi dan bersihkan
  2. Hiris halus bawang putih, bawang merah dan halia.
  3. Tumis semua bahan hiris tadi bersama serai sehingga naik bau
  4. Masukkan ayam dan gaul sebati
  5. Masukkan air
  6. Akhir sekali masukkan terung dayak dan gaul sebati.
  7. Masukkan garam dan biar mendidih hingga ayam dan terung masak.

Sedia untuk dihidang dengan nasi putih dan Umai, confirm terangkat !

MIDIN GORENG BELACAN

Sayur Midin ni adalah sejenis pucuk paku tapi berbeza spesis. Orang cakap sama tapi tak serupa. Tekstur midin lebih licin dan tidak berbulu. Sayur midin ni banyak dijumpai di Sarawak, di semenanjung pula banyak di Terengganu kerana ia salah satu bahan yang dimasukkan dalam bubur lambuk. Midin ni memang sedap dijadikan ulaman dan dimasak dengan belacan, dibawah adalah cara menyediakan Midin Goreng Belacan :

Bahan – bahan :

  • 1 ikat Pucuk Midin
  • 4 ulas Bawang Merah
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 1/2 cawan Ikan Bilis
  • 1/2 inci Belacan dibakar
  • 1 biji Cili Merah
  • 6 biji Cili Padi
  • 1 senduk Minyak Masak
  • Sedikit Air
  • Sedikit Garam dan Gula

Cara Membuatnya:

  1. Bersihkan pucuk midin tadi
  2. Tumbuk belacan sehingga halus
  3. Masukkan ikan bilis, bawang putih dan bawang merah, cili merah dan cili padi. Tumbuk kasar bahan tersebut
  4. Panaskan kuali dan masukkan minyak
  5. Tumis semua bahan tumbuk sehngga naik bau
  6. Masukkan pucuk midin
  7. Masukkan sedikit air
  8. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

Siap untuk dihidang bersama nasi putih, lebih ummph dimakan bersama pansuh manok !

Untuk lebih banyak resepi lain yang menarik, boleh cuba berjenis dipping sauce atau ikan goreng sambal !