9 Aktivis Transgender Malaysia

Transgenderism di Malaysia ialah satu topik yang agak taboo. Rata-rata penerimaan rakyat Malaysia terhadap golongan ini masih ditahap rendah. Komuniti ini selalu dibelenggu dengan dengan stigma dan diskriminasi . Walaubagaimanapun, transgender movement di Malaysia membantu mendedahkan mereka kepada hak dan peranan sebagai rakyat negara ini disamping membebaskan mereka dari penindasan sesetengah pihak. Berikut ialah aktivis transgender yang berperanan membantu, memperjuang dan memartabatkan komuniti ini :

 

“I always believe that, while whatever you face now is challenging, things will always get better. It is this belief that keeps me moving forward”

Nisha Ayub

Dilahirkan di Melaka pada 5hb April, Nisha adalah antara spokesperson paling utama dalam komuniti wanita transgender Malaysia. Beliau juga mewakili suara mereka di dalam dan luar negara. Selaku Project Director dan salah seorang founder untuk SEED (Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif), Nisha banyak berinteraksi dengan komuniti terpinggir dan homeless di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya golongan wanita transgender dan people living with HIV (PLHIV).

Selain itu Nisha juga merupakan founder bagi Justice For Sisters atau JFS iaitu sebuah NGO yang ditubuhkan khas bagi melawan penindasan terhadap komuniti ini terutamanya dibawah akta undang-undang Syariah Malaysia. JFS adalah NGO yang terlibat dalam kes di Negeri Sembilan pada November 2014 di mana 3 transgender wanita mendakwa undang-undang Syariah mendiskriminasi hak bersuara, bergerak dan hidup tanpa diganggu. Ini merujuk kepada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang mengharamkan ‘lelaki’ muslim ‘memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan’ di tempat awam. Perundangan ini dicabar kerana melanggar hak asasi manusia.

Dengan sikap tidak berputus asa dan kesabaran beliau dalam advokasi untuk golongan terpinggir, Nisha diberi pengiktirafan dari Human Rights Watch (HRW),  Alison Des Forges untuk Extraordinary Activism pada tahun 2015. Pada tahun 2016 pula, beliau telah diberi anugerah International Women of Courage dan melakar sejarah sebagai wanita transgender pertama yang menerimanya.   Selain dari itu, Kevin L. Faulconer selaku Mayor of San Diego, California telah menamakan 5 April yang juga hari lahir Nisha sebagai ‘Nisha Ayub Day’ di bandar tersebut. Tambahan dari itu, The International Jose Julio Sarria Civil Rights Award juga diberikan kepada Nisha dari United States Government.

Dengan personaliti yang dinamik dan vokal, baru-baru ini Nisha telah dijemput untuk berucap di International Medical University Bukit Jalil bagi sesi TEDxIMU dimana beliau berkongsi perjalanan hidup sebagai seorang transgender dan cabaran yang dihadapi dalam memperjuangkan hak komuniti tersebut. Pada March lalu, wanita yang gemar memasak ini juga telah dijemput sebagai panel untuk sesi Social Inclusion di Malaysian Indian Youth Conclave (IYCON) 2018.

Bagi Nisha, cabaran yang paling utama sebagai seorang advokat dan aktivis ialah badan-badan pro Syariah yang menghukum identiti komunitinya dan menggunakan pendekatan ‘kembali ke pangkal jalan’ dalam memberikan nasihat yang dirasakan sesuai bagi mereka.  Badan ini sepatutnya mencuba untuk memahami masalah yang dihadapi golongan transgender tanpa prejudis, bukannya mengubah mereka mengikut acuan yang dikehendaki.

Selain perwatakannya yang ceria dan humble, Nisha yang berdarah campuran Melayu dan India ini juga adalah pengasas kepada T-home, sebuah projek untuk membantu dan menempatkan komuniti transgender veteran dari semua bangsa dan agama yang kurang sokongan keluarga dan tidak mempunyai tempat tinggal. Projek ini dikelola bersama SEED. Objektif utama projek ini ialah supaya mereka mendapat tempat dalam masyarakat, merasa selamat, dihormati, disayangi dan tidak terpinggir.  Tambahan lagi, SEED T-Home juga membuka pintunya kepada komuniti transgender yang tidak diterima keluarga dan memerlukan shelter sementara. Projek ini masih memerlukan dana bagi menampung kos seharian mereka. Bagi yang ingin membantu dari segi kewangan, ianya boleh disalurkan ke akaun CIMB SEED: 800 6999 903 . Bagi yang ingin menyumbang makanan dan perkakas rumah, sila hubungi SEED secara terus di 0326970655 atau e-mel seed@seedfoundation.com.my

Nisha berharap komuniti transgender akan diiktiraf di negara ini pada masa depan dan tidak lagi dinafikan hak bersuara dan dilayan sama rata seperti warganegara lain.

 

“trans rights are human rights”

Vee Izhar

Berasal dari Temerloh, Pahang, Vee mula terlibat secara aktif sebagai aktivis bagi komuniti transgender di Kuantan. Penglibatannya selama 6 tahun bersama NGO di sekitar Kuantan dan Kuala Lumpur mendedahkan beliau dengan isu-isu semasa berkaitan transgender movement. Lebih terperinci, wanita yang dilahirkan pada 19hb Ogos 1984 ini banyak melibatkan diri dengan badan-badan berkepentingan atau stakeholders dalam membuat keputusan untuk perundangan dan polisi yang memberi impak kepada komunitinya. Tujuan utama Vee ialah untuk membela penindasan terhadap mereka supaya tidak diketepikan dan dinafikan hak sebagai rakyat.

Sebagai Transgender Representative untuk Program HIV dan AIDS di Country Coordinating Mechanism Malaysia atau CCM, beliau banyak membantu dan memberi konsultansi untuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan Malaysian Aids Council (MAC) melalui sokongan dana global dalam program berkaitan HIV dan AIDS. Selain dari itu, Vee juga aktif dalam menganjurkan program SOGIE (Sexual Orientation and Gender Identity Expression) bersama NGO Justice For Sisters di negeri-negeri dalam Malaysia. Tujuan utama program advokasi ini ialah untuk memberi informasi kepada  masyarakat secara am nya tentang definisi gender identiti dan perbezaanya dengan seksualiti. Penglibatan Vee dalam advokasi untuk kumpulan minoriti ini tidak terhenti disitu sahaja, beliau juga pernah menjadi jurucakap bagi program SOGIE untuk UNHCR.  Tambahan dari itu, beliau juga mewakili NGO Malaysia dalam perbincangan dan kursus bersama United Nation (UN) di Geneva pada September 2015.

Selain menjadi wakil bagi jaringan pertubuhan berasaskan komuniti wanita transgender dan MSM untuk MyIsean, Vee juga antara wakil di peringkat serantau bagi ISEAN yang menggabungkan jaringan pertubuhan komuniti dari Filipina, Indonesia, Timor Leste, Singapura dan Brunei. Wanita aktif ini banyak dijemput untuk forum dan diskusi terutamanya untuk Transwomen National Forum Malaysia, National World Aids Day, Women’s Day dan Women’s Rights atau Hak Asasi Wanita. Dalam pada itu, Vee juga merupakan salah seorang panel untuk sesi ‘How to be a Trans Ally’ yang dianjurkan oleh Justice For Sisters di festival Arts for Grab bersempena dengan Transwomen Awareness Week dan TDOR atau Transwomen Day of Remembrance. TDOR adalah salah satu memorial yang diadakan setiap tahun di seluruh dunia secara serentak pada 20 November. Ianya bertujuan untuk mengingati para transgender yang telah pergi kerana menjadi mangsa transphobic hate crime, diskriminasi, insiden bunuh diri (suicide) dan depressi.

Bagi Vee, cabaran utama yang dihadapi bagi golongan transgender ialah undang-undang yang mendiskriminasi dan mencabuli hak asasi komunitinya sebagai rakyat negara ini terutamanya dalam bidang pendidikan, pekerjaan, kesihatan, perumahan dan insurans . Antara tindakan undang-udang yang biasa dikenakan terhadap golongan ini ialah undang-undang sivil (372 b) akta persundalan dan undang-undang Syariah yang merujuk kepada cara berpakaian dan hak untuk berada di tempat awam. Ini memberi impak negatif kepada polisi negara dan pemikiran masyarakat. Tambahan lagi undang-undang Syariah yang tidak selaras dengan undang-undang tinggi Perlembagaan Malaysia menyukarkan lagi proses perundangan.

Selain dari advokasi, wanita yang berbakat dalam bidang fesyen ini juga mempunyai label sendiri dalam menghasilkan pakaian etnik Melayu. Dikenali sebagai LEMBAYONG, variasi warna dan corak yang dicipta sendiri oleh Vee sangat terperinci. Bagi yang berminat, boleh menyemak di laman FB LEMBAYONG.
Harapan Vee bagi masa depan komuniti transgender ialah kesamarataan hak sebagai rakyat Malaysia and nasib mereka sebagai minoriti di dalam masyarakat ini terbela dan tidak terus ditindas oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Vee juga berharap supaya mereka dapat menjalani kehidupan dan hak yang sama , setanding dengan masyarakat secara keseluruhan.
“IKON TW Malaysia: A model and a Beauty Queen”

Rania Zara Medina

Rania yang dilahirkan pada 7 January 1993 adalah wajah baru dalam bidang advokasi transgender. Beliau yang berasal dari Ipoh, Perak ini sangat gemar membaca berkenaan sejarah dan tamadun dunia. Nama Rania mula meningkat naik setelah dinobatkan sebagai Ikon Transwomen untuk tahun 2017 / 2018.

Sebagai duta golongan transgender di Malaysia, Rania banyak terlibat dalam advokasi di peringkat komuniti seperti workshop SOGIE dan undang-undang. Wanita yang berketurunan Melayu, Pakistani dan Eurasian ini juga boleh bertutur dalam 7 bahasa termasuk English, Spanish dan Mandarin. Oleh yang demikian, beliau menjadi spokesperson untuk majlis-majlis charity yang dianjurkan oleh NGO atau ratu cantik (beauty contest) yang dikelolakan oleh komunitinya.

Bagi Rania yang masih berjinak-jinak dalam bidang aktivis, cabaran utama yang dihadapi ialah adanya pihak-pihak yang cuba menghalang informasi berkenaan kesukaran dan diskriminasi yang dihadapi golongan ini dalam kehidupan seharian dari sampai ke masyarakat dan dunia luar.

Harapan beliau di masa depan ialah komunitinya akan lebih kuat dalam mendapatkan keadilan dan maju dalam bidang-bidang yang diceburi. Bagi Rania juga, kemenangan paling besar ialah menjadi diri sendiri.

 

‘Connect, Understand NOT Penalise’

Hezreen Shaik Daud

Hezreen adalah salah seorang aktivis yang banyak mempengaruhi transgender movement di Pulau Pinang. Wanita yang berketurunan peranakan Sri Lanka dan Thai ini lebih mesra dengan panggilan Achie Bee. Beliau terlibat dengan bidang aktivis dan advokasi pada tahun 2007. Hezreen yang dibesarkan oleh neneknya mula bertapak dengan NGO Penang Family Planning Association yang kini dikenali sebagai Penang Family Health Development Association (FHDA), sebagai Outreach Worker. Dari situ, beliau membina kerjayanya sehingga memegang jawatan sebagai Pengawai Program yang mengendalikan program HIV dan advokasi transgender.  Hezreen yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ini mula dikenali dalam dunia advokasi dan politik apabila dilantik oleh Ahli Undangan Negeri kawasan Tanjong Bungah, YB Teh Yee Cheu, sebagai Setiausaha Politik pada bulan Jun 2013. Pada Mei 2016, Transgender Committee telah ditubuhkan bagi peringkat undangan negeri dengan bantuan NGO seperti Justice For Sisters (JFS) dan SUARAM. Malangnya pertubuhan ini hanya bertahan selama 3 bulan sahaja atas sebab kontroversi oleh masyarakat.

Beliau yang lahir pada tanggal 3 April 1980 di Pulau Pinang pernah dihalau dari rumah dan hidup ‘kais pagi makan pagi’ di Kuala Lumpur. Kisah perit perjalanan hidup beliau pernah didokumentarikan sebelum ini oleh pelajar UTAR untuk memberi pendedahan kepada pelajar kolej tentang kehidupan seorang Transgender.  Hezreen juga pernah menjadi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) di FHDA untuk komuniti Transgender dan antara projek dikelolakan Hezreen ialah mengadakan program bersama komuniti dengan masyarakat supaya tidak ada jurang perbezaan. Dalam pada itu, beliau juga aktif dan menjadi jemputan dalam forum mengenai SOGIE dan pengenalan tentang transgender bagi peringkat daerah dan negeri di Universiti, kolej, klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta. Tujuan utama forum atau diskusi ini diadakan adalah supaya mereka lebih mengenali komuniti ini secara mendalam dan tidak merasa kekok untuk mendekati golongan ini terutamanya bagi pegawai perubatan dan pelajar. Bagi Hezreen, aktiviti seperti ini adalah penting bagi mengurangkan diskriminasi terhadap komunitinya dalam akses ke perubatan (healthcare).

Wanita berkelulusan Diploma in Information Technology ini pernah membantu FRHAM atau Federation of Reproductive Health Associations Malaysia dalam kajian dan analisis mengenai ‘Sexual Behaviors Among Female & Transgender Sex Worker’. Selain dari itu, Hezreen juga melibatkan diri dalam sokongan Rakan Sebaya atau Peer Support untuk PLHIV (Person Living with HIV) di pusat Maycare, Seberang Jaya, Pulau Pinang. Tambahan dari itu, beliau juga menyertai program advokasi ‘Girls Decide What Girls Want’  dengan kerjasama sekolah-sekolah untuk mendekati pelajar perempuan yang meningkat remaja.

Cabaran bagi Hezreen dalam bidang aktivis ialah mendapatkan kerjasama dengan pihak atasan dalam mengadakan program mengenai Transgender. Dalam pada itu, sikap masyarakat  yang mempunyai sifat transfobia atau membenci golongan ini oleh kerana social construct dan pengaruh keagamaan juga memainkan peranan dalam keberkesanan advokasi.

Hezreen secara peribadi ialah seorang yang kreatif dalam pembuatan beg dan purse dengan corak batik. Walaupun belum mempunyai label, beliau juga bercita-cita untuk menjadikan produk keluarannya ini sebagai salah satu seni karya anak negeri Pulau Pinang.

Bagi Hezreen, harapannya untuk komuniti ialah supaya mereka bersatu hati dan memajukan diri. Dengan ini masyarakat tidak lagi memandang rendah terhadap mereka. Slogan yang sering digunakan Hezreen ialah ‘Connect, Understand NOT Penalise’.

 

“I don’t wanna be right or wrong, I wanna be real”

Danisha Afandi Tahir

Danisha atau mesra dengan panggilan Kak Danisha telah mula berkecimpung dalam dunia advokasi sejak tahun 1990an lagi. Transwanita yang dilahirkan pada 17hb Disember di Kuala Lumpur ini kini aktif dalam NGO yang membantu dalam perancangan strategik berkaitan isu HIV dan AIDS di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat polisi dan dasar bersama Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau yang juga menjadi salah seorang sukarelawan untuk SEED sentiasa berfikiran positif dan sentiasa membantu komuniti transgender Malaysia dalam isu-isu berkaitan kebajikan, kesihatan dan kaunseling. Selain dari itu, beliau pernah bersama DIC atau Drugs Intervention Community selaku Pengurus Program Global Fund Malaysia. DIC ditubuhkan bagi membantu menangani permasalahan dadah dan HIV / AIDS di negeri Pahang. Danisha juga pernah memberi khidmat untuk FRHAM atau Federation of Reproductive Health Associations Malaysia sebagai ketua program dalam memberikan training kerja-kerja advokasi mengenai kesihatan dan hak reproduktif.

Dalam pada itu Danisha juga pernah memegang jawatan sebagai Network Coordinator di MyIsean.  Transwanita yang tidak lokek dengan senyuman ini turut membabitkan diri dalam National Strategic Plan on HIV and AIDS bagi tahun 2010 sehingga 2015. Bukan itu sahaja, Danisha juga menyumbang dalam dasar polisi National Strategic Plan Ending AIDS 2016 -2030 yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH).

Bagi Danisha, cabaran utama dihadapinya dalam membantu komuniti ialah menghentikan stigma masyarakat terhadap golongan transgender dan people living with HIV (PLHIV). Terlalu banyak informasi yang tidak tepat disebarkan umum berkenaan isu ini yang membuatkan kerja-kerja advokasi menjadi sukar. Harapan beliau untuk masa depan ialah supaya komunitinya mendapat layanan sama rata seperti semua warga negara ini serta mampu menyumbang bersama bagi merealisasikan TN50.

 

‘Trans Woman: I am a Queen’

Minisha Deepu

Minisha Kaur Deepu dilahirkan pada 14hb Julai 1990 mula mengorak langkah secara serius dalam dunia advokasi apabila menyertai pertandingan Ikon Transwoman pada Disember 2016 dibawah anjuran Malaysian AIDS Council (MAC). Beliau yang merupakan anak jati Kuala Lumpur ini aktif sebagai sukarelawan untuk NGO SEED Malaysia semenjak November 2016 lagi terutamanya bagi TDOR (Transgender Day of Remembrance) dimana beliau membentangkan data mengenai statistik jenayah tehadap komunitinya di Malaysia.

Pada September 2017, Minisha menjadi koordinator bagi charity bazaar yang bertujuan mengutip dana bagi komuniti terpinggir yang dikelolakan oleh SEED. Pada tahun yang sama juga, beliau terlibat dalam membantu forum-forum anjuran NGO JFS sekitar Kuala Lumpur terutamanya dalam topik SOGIE (Sexual Orientation and Gender Identity Expression) dan HIV/AIDS. Minisha juga menyumbang kepada forum SOGIE di Universiti Sunway dibawah anjuran SEED.

Minisha yang berkelulusan Bioteknologi dari UCSI dan UKM ini mempunyai minat mendalam untuk advokasi dalam kaedah HRT (Hormone Replacement Theraphy) yang selamat bagi komunitinya. Beliau mengelolakan forum online untuk para transwanita mendapatkan informasi mengenai pilihan, kaedah dan prosedur dalam pengambilan hormon secara selamat dan berkesan. Ketelusan beliau dalam memaklumkan kebaikan dan keburukan dalam HRT dan pengambilan hormon secara am nya disambut baik komuniti dan berjaya menyedarkan mereka tentang isu tersebut.

Bagi Minisha yang juga seorang stand up comedian ini, cabaran utama dalam kerja-kerja aktivis ialah akses ke healthcare terutamanya berkaitan HRT terutamanya apabila ia melibatkan kos yang agak tinggi. Selain dari itu, isu perundangan Syariah yang menindas dan diskriminasi dalam bidang pekerjaan juga adalah isu utama yang perlu diperjuangkan. Ini ditambah pula dengan kesukaran menukar ‘gender marker’ di negara ini. Harapan Minisha untuk komunitinya di masa depan ialah mereka diberikan hak asasi untuk menjadi diri sendiri dan merasa selamat di negara ini.

 

‘Human Rights’

Gisele Rimong Lidom

Gisele merupakan salah seorang tulang belakang advokasi transgender di Malaysia. Beliau yang berasal dari Sarawak ini merupakan salah seorang founding board member selaku Presiden untuk Pertubuhan Kebajikan Sinar Pelangi atau PKSP sejak tahun 2014 lagi. PKSP merupakan sebuah pertubuhan yang menjurus kepada kebajikan untuk komuniti sasaran terutamanya transgender. Dari masa ke semasa Gisele adalah seorang yang aktif dalam menjadi sukarelawan bagi NGO SEED dan JFS terutamanya dalam kes-kes mahkamah melibatkan penindasan terhadap komunitinya.

Transwanita yang lahir pada tanggal 31hb Januari 1986 ini banyak terlibat dalam forum dan workshop untuk Kerjaya, SOGIE dan HIV/AIDS sebagai moderator dan penganjur. Beliau dikenali sebagai salah seorang aktivis yang sangat mementingkan kebajikan dan kesejahteraan komunitinya. Beliau turut bekerjasama dengan SUARAM dan NGO lain dalam memastikan hak dan suara mereka didengari.  Selain dari itu, Gisele juga menyumbang kepada pergerakan Myisean dalam advokasi hak untuk para transgender dan MSM sejak tahun 2016.

Gisele yang sangat sayangkan kucing ini juga bekerja dengan sebuah syarikat swasta pada masa yang sama disamping menjalankan tugas-tugas aktivis. Beliau merupakan tunggak kemuafakatan komuniti transgender Sarawak di Lembah Kelang dan sentiasa memastikan mereka sentiasa berhubung dan mendapat informasi tentang hak dan trans movement di negara ini. Tidak terhenti di situ sahaja, Gisele juga merupakan salah seorang founder untuk IKON TW yang telah dianjurkan pada awal tahun ini bagi melahirkan para aktivis generasi baru dalam memastikan perjuangan hak komunitinya diteruskan.

Bagi Gisele, antara cabaran yang dihadapinya dalam menjalankan kerja-kerja advokasi ialah halangan dari jabatan-jabatan kerajaan dan badan-badan agama. Beliau juga pernah menyatakan agak sukar untuk menyatukan komuniti transgender di seluruh negara ini kerana jurang pendapat. Selain dari itu, cabaran utama yang dihadapi ialah mendapatkan peluang pekerjaan pada komunitinya kerana diskriminasi gender.

Harapan Gisele di masa depan ialah komunitinya mendapat hak sama rata seperti warga lain dan setiap seorang dari mereka berani dan bangga menjadi diri mereka sendiri.

 

‘Never Be afraid to be Different’

Abinaya Jayaraman

Abinaya atau mesra dengan panggilan Abi merupakan anak jati Kuala Lumpur dan telah mula berkecimpung di dalam bidang advokasi sejak tahun 2006 lagi. Beliau yang lahir pada tanggal 13hb November ini dibesarkan oleh keluarganya walau mereka tidak menerimanya sebagai seorang transgender . Abinaya melalui zaman remaja yang perit dengan insiden sexual assault dan dibuli rakan sebaya. Akibat dari itu, beliau melalui depressi yang hampir meragut nyawanya. Kisah hidupnya didokumentarikan oleh sebuah NGO dalam The G Blog pada tahun 2016. Pengalaman ini membuatkan beliau tabah dan bertekad untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap komunitinya.

Abinaya yang juga graduan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Perakaunan memulakan kerjaya dalam bidang ini dengan memegang jawatan CSR (Corporate Social Responsibility) bagi program HIV / Aids bersama Standard Chartered Bank Malaysia pada tahun 2006. Dalam tahun yang sama, Abinaya telah memperolehi TOT Certificate (Training of Trainer) bagi PLHIV.  Dari situ, beliau telah meneruskan kerja-kerja aktivis dengan program-program CSR yang lain bersama beberapa MNC (Multi National Corporation). Beliau juga banyak menyumbang dalam seminar SOGIE di hospital dan klinik kerajaan juga swasta bagi peringkat daerah dan negeri.

Pada tahun 2014 Abinaya telah melibatkan diri secara langsung sebagai Trainer dengan CBO (Community Based Organization) PAMT atau Pertubuhan Advokasi Masyarakat Terpinggir di bawah kelolaan Isean Hivos. Pada tahun berikutnya, Abi telah dilantik sebagai Program Coordinator oleh PAMT dan aktif bekerjasama bersama beberapa NGO dan CBO seperti MAC (Malaysia Aids Council), Justice For Sisters (JFS), Sister in Islam (SIS), Fahda, FRHAM, Awam dan MyIsean. Dari situ beliau mula menjadi panel bagi seminar kesedaran SOGIE di beberapa tempat yang dianjurkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil dan diberi pengiktirafan sijil sebagai TOT dalam topik tersebut. Salah satu seminar yang dikelolakan Abi ialah bersama Klinik Komuniti ‘Klinik Anggerik’ di Klinik 1 Malaysia, Cheras.

Beliau yang juga pengerusi Voice of Community untuk Johor Bahru dan Melaka bergiat secara aktif dalam konsultansi undang-undang bagi isu komuniti transgender dan berganding bahu dengan NGO Justice For Sisters. Salah satunya ialah kes di Negeri Sembilan. Selain dari itu, Abinaya juga menjadi wakil negara bagi Asean Summit 2015 di Chiang Mai, Thailand untuk SW Advocacy Conference. Abi juga telah dipilih oleh National Geographic Photo Journalism untuk kempen ‘Where Love is illegal’ oleh Robbin Hammod. Tidak terhenti di situ saja, Abi juga terlibat dalam Malaysia Aids Conference pada tahun 2016 dan mewakili Malaysian Aids Council bagi forum HIV Epidemic di Hospital Kajang bersempena dengan Hari Aids sedunia.

Bagi Abinaya cabaran dalam kerja advokasi untuk komunitinya ialah situasi politik, agama dan budaya yang melahirkan masyarakat transphobia. Hasilnya, undang-undang yang mendiskriminasi para transwanita diwujudkan. Selain itu, sesetengah komuniti transgender yang tidak terbuka kepada perubahan juga membuatkan mereka tidak bersatu hati dalam menentang penindasan. Harapan beliau ialah supaya komunitinya tidak mengira apa latar belakang akan bersatu demi masa depan mereka.

 

‘Perubahan diri bermula bila kita tidak bergantung lagi pada doktrin yang hanya meracun & merosakkan pemikiran kita serta menghancurkan sesama warga, bangsa dan negara’

Sulastri Ariffin

Lebih dikenali sebagai Kak Su di kalangan komunitinya, wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak ini telah mula aktif sebagai aktivis pada tahun 1993 lagi. Sulastri pada mulanya bekerja di Brunei sebelum memutuskan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1983. Beliau pada mulanya memulakan kerjaya sebagai aktivis secara sukarela bersama PT Foundation sebagai Outreach Worker. Pada tahun 1997 pula, Sulastri telah diberi mandat untuk menjadi Project Manager bagi komuniti Transgender dan Sex Worker.

Kak Su adalah antara aktivis yang paling dihormati dalam komunitinya. Ini kerana pengalamannya dalam dunia advokasi. Beliau juga adalah tunggak persatuan Maknyah Kuala Lumpur di mana seminar pertama transwanita diadakan pada tahun 1998 dengan 150 peserta. Pada tahun 2001 pula, Kak Su memegang jawatan sebagai Coordinator untuk program Positive Living yang memfokuskan kepada PLHIV.  Pada tahun 2002 hingga 2004, beliau terlibat dengan NGO WAKE atau Wanita Dan Kesihatan di mana beliau meneruskan  jawatan sebagai Program Coordinator.  Kak Su juga mewakili NGO Malaysia untuk International Congress on Aids in Asia and the Pacific (ICAAP) pada tahun 1995 di Chiang Mai, 1999 di Kuala Lumpur, 2001 di Melbourne, 2007 di Sri Lanka dan 2009 di Bali. Ini meluaskan pengalaman dan jaringan komuniti Kak Su di dalam dan luar negara.

Pada tahun 2003, Sulastri menyumbang untuk persidangan International Muslim Leaders Consultation on HIV / Aids. Tahun berikutnya beliau terlibat pula dengan International Conference of Social Welfare (ICSW) di Kuala Lumpur dan International Aids Conference di Bangkok. Selain dari itu, di tahun 2005, beliau melangkah setapak ke hadapan lagi dengan mengambil bahagian dalam International Women and Health Meeting di New Delhi dan ILGA Asia (International Lesbian and Gay Assocation) di Geneva. Pada tahun 2006, pengiktirafan diberikan kepada program Transgender dibawah kelolaan Sulastri apabila ianya menerima anugerah Red Ribbon di Persidangan Aids Sedunia di Canada.

Wanita yang gemar berpantun ini meneruskan kerjaya beliau bersama PBKS atau Pusat Bantuan Khidmat Sosial pada tahun 2007 sehingga tahun 2013. Dalam pada itu, beliau menjadi Board Member bagi APNSW (Asia Pacific Network of Sex Worker) yang berpangkalan di Bangkok dan co-founder untuk APTN (Asia Pacific of Transgender Network) dimana beliau menjadi interim selama 5 tahun. Pada tahun 2010 Sulastri terlibat dengan International Congress On Gender Identity & Human Rights di Barcelona. Dari situ, beliau aktif menjadi fasilitator bagi seminar dan workshop untuk badan-badan swasta dan awam berkenaan SOGIE dan hak asasi manusia terutamanya berkenaan transgender. Dalam pada itu, Kak Su juga bekerjasama dengan Legal Aid Centre dalam isu perundangan bagi kes-kes berkaitan komunitinya.

Di tahun 2014, Kak Su berganding bahu bersama Nisha Ayub di SEED untuk program Transgender dan telah membantu memberikan kesedaran kepada komuniti Transgender Malaysia tentang hak mereka. Beliau juga merupakan tulang belakang bagi social media project: MyNetra (Malaysian Network of Transgender) yang mengukuhkan perpaduan sesama komuniti. Projek ini juga memastikan informasi berkenaan kesihatan, perundangan, keselamatan dan HRT disampaikan kepada komunitinya. Pada tahun 2017, Kak Su memegang jawatan National Program Manager untuk IHP PT Foundation sebelum memutuskan untuk bersara dan membantu komuniti secara sukarela.

Pada pendapat Sulastri, cabaran dalam bidang ini ialah bilamana pihak atau pertubuhan yang sentiasa menimbulkan kekeliruan dan kebencian masyarakat terhadap komuniti transgender. Selain dari itu, kurangnya sokongan dana untuk sesi atau bengkel “empowerment” khusus untuk  mereka menimba ilmu serta maklumat yang tepat berkaitan SOGIE dan kesihatan diri juga menghadkan kerja advokasi.

Selama 20 tahun Kak Su terlibat dalam bidang advokasi di mana beliau telah mengeratkan hubungan sesama komunitinya dan membina platform bagi mereka berinteraksi. Di samping itu, Kak Su juga memastikan NGO yang mewakili komunitinya membina kerjasama dengan aktivis hak asasi manusia dan para profesional di peringkat negara dan antarabangsa.