Fakta Mengenai Teh Yee Cheu, Calon PSM DUN N30 Sungai Pinang

Teh Yee Cheu untuk N30 Sungai Pinang

 

Undilah Calon PSM

Pilihan Raya Umum ke 14 akan berlangsung tidak lama lagi, maka calon-calon bagi DUN dan Parlimen akan mula berkempen bagi meraih undi masyarakat setempat. Antara salah seorang yang menarik perhatian ramai terutamanya di negeri Pulau Pinang ialah Teh Yee Cheu, bekas ahli parlimen Tanjung Bungah yang mewakili parti DAP bagi kawasan tersebut pada PRU ke 13 lalu. Pada PRU kali ini, beliau mengambil langkah baru bagi mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi DUN N30 Sungai Pinang. Ini demi meneruskan perjuangan beliau dalam misi mempertahankan landskap hijau Pulau Pinang dan keadilan terhadap semua rakyat tanpa mengira kaum, etnik, gender dan agama.

Sedikit sejarah mengenai PSM, ianya ditubuhkan pada tahun 1998 oleh aktivis-aktivis yang bergiat aktif dalam memperjuangkan hak rakyat negara ini. Antara yang diperjuangan PSM ialah menegakkan hak asasi rakyat, melawan pengusiran paksa, hak perumahan, menuntut pelaksanaan akta gaji minimum, membantah cukai GST dan menentang penswastaan hospital.

Poster Teh di Sungai Pinang

PSM merupakan sebuah parti politik beralternatif kiri, apa maksudnya ?. Politik kanan ialah politik yang dibawa oleh parti yang bersifat perkauman, kapitalis dan elitis. Manakala politik kiri pula mewakili fahaman pro rakyat dan menentang kapitalisma. Fahaman ini menawarkan visi perubahan masyarakat yang tidak bergantung kepada kapitalisma dan memberikan mereka hak sama rata, bebas bersuara, keadilan untuk semua lapisan masyarakat dan mengeratkan pertalian sesama rakyat negara ini. Pemerintah dan aliran utama pembangkang buat masa ini tidak mencabar kekuasaan kapitalis ini.

Sesi Bertemu Penduduk

Ini adalah kali pertama PSM bertanding dalam PRU di Pulau Pinang untuk 1 kerusi DUN dari 40 kerusi yang ditawarkan dan Teh Yee Cheu adalah calon yang mewakili parti tersebut. Di Pulau Pinang, PSM menekankan pada penyertaan rakyat secara aktif dalam proses membuat keputusan yang berkait rapat dalam kehidupan seharian. Bagi mereka, pembangunan perlu melalui proses perbincangan untuk mencapai kemuafakatan. Ini dilaksanakan atas nama demokrasi. Pembangunan sepatutnya untuk rakyat, bukannya untuk keuntungan korporat. Agenda perjuangan beliau dalam PSM merangkumi 3 perkara asas iaitu Demokrasi sejati dimana penyertaan rakyat dalam proses menentukan halatuju kehidupan, Keadilan ekonomi yang mengagihkan kekayaan masyarakat secara adil dan saksama dan Kelestarian alam sekitar dimana keseimbangan ekologi alam sekitar diambil berat supaya rakyat dapat hidup dalam persekitaran bumi yang bersih dan selamat. Beliau juga merancang menjadikan Jelutong dump site ke Jelutong Green Lung untuk kebaikan masyarakat disini.

Teh Yee Cheu untuk N30 Sungai Pinang

Bagi Teh, beliau memilih PSM dalam pilihanraya kali ini kerana rakyat berhak mempunyai pilihan yang lebih baik. Baginya, PSM juga menawarkan nafas baru bagi politik negara ini. Selain itu, sama ada negeri tersebut ditadbir oleh pihak Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, wakil rakyat PSM akan tetap menjalankan tanggungjawabnya tanpa pengaruh politik dari parti yang memerintah. Ramai yang bertanya, tidakkah PSM akan memecahkan undi pembangkang, jawapannya tidak. PSM tidak berniat untuk memecahkan undi kerana mereka hanya bertanding 3% kerusi parlimen dan DUN. Dalam pada itu, PSM bersedia untuk bekerjasama dengan parti pembangkang dengan dasar ikhlas, telus dan adil.

Bertemu Penduduk

Kesemua calon PSM termasuk Teh Yee Cheu mempunyai kriteria yang sama untuk membenarkan mereka bertanding atas tiket PSM iaitu Bersih dimana beliau perlu mengisytiharkan harta dan dilarang memiliki apa-apa jawatan dalam badan korporat dan GLC. Kriteria kedua ialah Berani kerana mereka perlu berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak rakyat dan mencabar dasar yang menindas. Ketiga ialah Berprinsip dimana mereka sentiasa berdiri bersama rakyat yang diwakili bagi menghadapi sebarang ancaman dan tidak menggunakan isu perkauman dan agama untuk meraih sokongan. Yang terakhir ialah Berjiwa Rakyat iaitu setiap calon PSM wajib membuka pusat khidmat rakyat di kawasan yang ditandingi sama ada menang atau kalah. Tambahan lagi, calon PSM tidak mengamalkan budaya VIP, membodek,kronisma dan nepotisma.

Pusat Khidmat Rakyat PSM

Manifesto perjuangan PSM untuk PRU 14 ialah seperti dibawah :

1) Kenaikan gaji minimum ke RM1500 sebulan

2) Memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST dan menaikkan cukai ke atas warga korporat yang berpendapatan terlalu besar.

3) Perumahan untuk semua rakyat untuk diduduki dan bukan untuk keuntungan korporat

4) Pendidikan percuma sehingga ijazah pertama

5) Meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam dan menyekat pembukaan hospital swasta

6) Mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli

7) Melindungi hak tanah untuk petani kecil yang menghasilkan tanaman makanan untuk mengukuhkan bekalan makanan dan industri kecil ini.

8) Membangunkan teknologi tenaga yang selamat dan menolak pembinaan loji kuasa nuklear

9) Sistem pencen untuk semua warga emas

10) Mengembalikan pilihanraya tempatan seperti dewan bandaraya, majlis perbandaran, kampung dan taman perumahan.

Mengedarkan Risalah PSM

Teh Yee Cheu dikenali  sebagai seorang wakil rakyat yang berani menyuarakan pendapat dan mengkritik jika kepincangan berlaku dalam pentadbiran. Beliau juga aktif dalam isu-isu berkenaan kepentingan rakyat. Oleh yang demikian, sekiranya beliau dipilih mewakili DUN bagi kawasan Sungai Pinang, semestinya suara lantang rakyat negeri ini dapat dikekalkan bagi mengimbangi mana-mana kerajaan yang memerintah kelak.

 

Berjiwa Alam Bersuara Rakyat ialah moto beliau. Ikuti isu-isu PSM di laman FB mereka, laman web PSM atau menjadi ahli mereka di sini. PSM juga memerlukan dana bagi kempen mereka. Bagi yang bercadang memberikan sumbangan ikhlas kepada dana PSM, ianya boleh disalurkan kepada akaun Hong Leong Bank PARTI SOSIALIS MALAYSIA 17800019335 . Untuk keterangan lanjut sila hubungi Chon Kai di 0195669518.