In Person: 2 Artis ‘Eccentric’ Malaysia

Industri seni tanah air menghasilkan banyak nama terkenal di peringkat negara dan antarabangsa. Kokonutlist berpeluang mendalami 2 artis eccentric dengan hasil karya yang lain dari mainstream arts di Malaysia.

Zarith

Nama beliau jarang didengar dalam aktiviti seni dan budaya di Malaysia, namun anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur ini mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang ini dan lukisannya sering disiarkan di page media-media sosial miliknya terutamanya Kertas Papel. Zarith membesar di daerah Semenyih, Selangor dan kini bekerja di Lahad Datu, Sabah sebagai tenaga pengajar Bahasa Inggeris.

Flying to the Moon by Zarith

Sebagai seorang Transgender, beliau menggunakan karya seni lukisannya untuk mengekspresi diri. Dari hasil lukisannya yang bersifat feminin, Zarith mengilustrasi fantasi pemikiran beliau. Artis yang tak lokek dengan senyuman ini menggunakan kebudayaan asia tenggara sebagai inspirasi seninya.

The Keroncong Band by Zarith

Zarith sangat memandang tinggi warisan nusantara Melayu dan Borneo dan elemen ini sangat jelas dalam karya lukisannya. Antara pelukis yang menjadi idola beliau ialah Emila Yusof dan Jainal Amambing. Di peringkat antarabangsa pula ialah Hodi Hadadi dari Iran dan Dinara Mirtalipova dari Rusia.

Daily Dose of Trans by Zarith

Antara projek lain yang dihasilkan Zarith ialah Daily Dose of Trans iaitu siri komik tentang realiti kehidupan para transgender di Malaysia. Ianya juga merupakan salah satu langkah advokasi bergambar yang juga dikelolakan bersama AR Arcon, seorang Transmen dari Filipina. AR Arcon ialah seorang aktivis dari negara kepulauan tersebut dan beliau juga merupakan teman hidup Zarith.

Kids Arts Book By Zarith

Zarith pernah menerbitkan beberapa manuskrip untuk buku kanak-kanak tetapi sayangnya tidak diterima. Walaubagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat beliau untuk terus menghasilkan karya lukisan dengan gaya tersendiri.

Harapan bagi Zarith dalam industri seni ialah masyarakat lebih terbuka dan menghargai artis Transgender. Walaupun di negara ini, golongan mereka kebanyakannya diiktiraf dalam bidang andaman, kecantikan dan fesyen tetapi banyak juga dari mereka yang sangat berbakat dalam bidang lukisan dan muzik. Sekiranya sifat mendiskriminasi dapat dikikis, semestinya suara dan hasil karya mereka akan lebih dikenali masyarakat di masa hadapan.

Shika

Membesar dalam situasi yang agak konservatif, Shika mengekspresi dirinya dengan melukis pada awal remaja. Beliau yang berasal dari Melaka meninggalkan dunia pengiklanan untuk bergiat sepenuh masa dalam bidang yang dicintainya, Arts.

Artworks By Shika di beberapa exhibition

Inspirasi kerja seni Shika adalah berdasarkan pengalamannya sebagai wanita transgender membesar dan bercampur dengan pelbagai jenis masyarakat dari latarbelakang berbeza. Ini dapat dilihat dari dialog dan lukisan yang menjadi karya utama beliau. Selain dari seni visual, Shika juga menulis lirik dan lagu bagi band yang dinamakan TingTongKetz. Berentak pop, punk dan rock, lirik-lirik yang ditulis ialah berdasarkan realiti kehidupannya yang diberikan nafas baru.

TingTongKetz by Shika

TingTongKetz telah mengeluarkan demo pertama mereka pada bulan Mei 2018 dengan 4 buah lagu dengan yang paling popular bertajuk GIESO. Band ini pernah membuat performance di Finland pada tahun 2017. Mereka masih mencari dana bagi merakamkan lagu-lagu lain ciptaan Shika.

Gif Arts by Shika

Selain dari tu, beliau beberapa kali melibatkan diri dengan exhibition Arts for Grab bersama rakan artis yang lain. Pada tahun 2016, Shika telah membuat exhibition solo bertema ‘buang bayi’ di Bangsar yang menyaksikan Shika menjual lebih 60% dari hasil karya seninya. Buat masa ini, Shika aktif dalam gif arts yang lebih berbentuk visual.

Salah satu poster Exhibition

Bagi wanita berdarah Melayu dan India ini, Shika merasakan kerjaya seninya berada di kemuncak apabila beliau menetap di Finland selama 6 bulan pada tahun 2016 dengan penglibatannya bersama HIAP (Helsinki International Artist Program). Tambahan dari itu, Shika juga pernah terlibat dengan program Arts di Singapura, Filipina dan Jepun pada tahun-tahun sebelumnya. Kesemua pengalaman ini mematangkan dirinya sebagai seorang anak seni.

Portrait by Shika

Bagi Shika, harapan beliau ialah agar bidang seni lebih diiktiraf di Malaysia secara terbuka dan artis-artis transgender di negara ini diberikan lebih peluang untuk berkarya. Ini kerana agak sukar untuk survive di dalam bidang ini jika tidak mempunyai collector tersendiri. Dalam pada itu, Shika juga berharap TingTongKetz akan lebih dikenali dan mendapat ruang merekodkan lebih banyak lagu juga membuat persembahan di dalam dan luar negara.