9 Resepi Istimewa Jawi Peranakan

Jawi Peranakan

Peranakan India Muslim dan Melayu di Pulau Pinang pada zaman dahulu dikenali sebagai Jawi Peranakan. Mereka juga mempunyai akhbar, persatuan dan tanah kampung sendiri pada era sebelum merdeka dan awal 60-an. Dalam bahasa moden mereka selalu dikenali sebagai ‘anak mami’ dan ‘mamak penang’. Perkahwinan campur berpuluh malah beratus tahun menghasilkan generasi Pulau Pinang yang kaya dengan cara hidup mereka. ini termasuk dalam lenggok bahasa, budaya dan nama keturunan mereka seperti Bee, Khan dan Begum. Pertembungan budaya dari dua bangsa ini menghasilkan adat dan makanan yang unik dan berbeza dari negeri sekitarnya. Pulau Pinang hari ini dikenali sebagai syurga makanan di Malaysia. Selalunya kita asyik makan saja, kali ini mari kita lihat resepi asli 9 jenis lauk masakan istimewa dari Jawi Peranakan. Kesemua resepi ini ialah hidangan untuk 3 ke 4 orang.

 

Gulai Daging

Gulai bermakna kari di utara semenanjung, terutamanya di Pulau Pinang dan daerah sekitarnya. Gulai daging yang tinggi aromanya ini selalu disajikan dengan nasi putih, roti jala atau mesra dengan panggilan roti surai di sini. Selain itu, ianya juga dipasangkan dengan thosai. Sedikit berbeza dengan kaum India yang menyajikan thosai dengan dhal dan chutney. Jom tengok cara membuat Gulai Daging.

aneka resepi pulau pinang
Gulai Daging

Bahan-bahan:

  • 1/2 kilo daging dipotong kecil (pastikan lemak dibuang)
  • 2 biji ubi kentang di potong dadu
  • 2 biji tomato dipotong empat setiap satu
  • 2 biji cili hijau (boleh kurangkan satu jika mahu kurang pedas)
  • 1/2 cawan santan cair
  • 2 helai daun pandan diikat
  • Sedikit daun pudina
  • 1 – 2 cawan air
  • Garam

Bahan tumis:

  • Minyak untuk menumis
  • Rempah 4 sekawan ( 4 bunga cengkih, 2 kayu manis, 3 buah pelaga dan 2 bunga lawang)
  • 1 1/2 paket kecil rempah kari daging Babas
  • Sebiji bawang besar dihiris halus
  • 1 1/2 inci halia
  • 5 ulas bawang putih

Cara menyediakan:

  • Masukkan rempah ke dalam daging dan gaul rata
  • Kisar atau tumbuk lumat bawang putih dan halia dan masukkan ke dalam daging, gaul rata.
  • Panaskan minyak
  • Tumiskan bawang besar yang dihiris dan rempah 4 sekawan hingga bawang keperangan dan naik bau
  • Masukkan daun pandan dan gaul bersama bawang.
  • Masukkan daging yang dah digaul rata bersama rempah, halia dan bawang putih
  • Tumis sehingga pecah minyak
  • Masukkan ubi kentang dan gaul rata
  • Masukkan santan dan biar mendidih
  • Masukkan air dan biarkan mendidih
  • Pastikan daging empuk dan ubi kentang masak kemudian masukkan garam secukup rasa
  • Tutupkan api dan masukkan tomato dan cili hijau, kacau rata.
  • Masukkan daun pudina
  • Tutupkan periuk selama lebih kurang 5 minit supaya tomato dan cili hijau memberi rasa kepada gulai tadi

Siap untuk dihidang bersama nasi putih atau nasi beriani.

 

Gulai Ikan Kering Talang

Di utara semenanjung, ada kenduri-kendara yang menyajikan gulai ikan kering talang kepada tetamu. Ianya salah satu resepi yang sangat unik di sini. Bagi Jawi Peranakan, menu ini telah diubahsuai mengikut citarasa mereka dan memberikan lebih aroma dan rasa yang tiada tolok bandingannya. Apa yang istimewanya ialah gulai ini menggunakan kaedah tumis darat atau tumis diakhir masakan. Mari kita lihat cara membuatnya:

resepi peranakan pulau pinang
Gulai Ikan Kering Talang

Bahan-bahan:

  • 5-6 ketul ikan kering talang direndamkan dalam 10 minit (selalunya dijual setengah ekor, jadi bolehlah dipotong ke 5 atau 6 bahagian. Boleh juga menggunakan ikan kering lain tetapi tidak disyorkan)
  • 3 sudu besar serbuk rempah ikan kering Adabi
  • Sedikit ikan bilis
  • 1/2 biji bawang besar dihiris
  • 4 ulas bawang putih ditumbuk kasar
  • 2 biji ubi kentang dipotong empat setiap satu
  • 1 batang karot di potong bulat
  • 1 biji tomato dipotong empat setiap satu
  • 2 biji cili hijau di potong dua
  • 1 biji terung bulat dipotong empat setiap satu
  • 1/2 biji nanas masak (disiang dibuang matanya dan dipotong kepada 4 – 6 bahagian)
  • 1/2 cawan santan
  • 2 cawan air
  • 1/4 cawan air asam jawa
  • Garam

Bahan tumis:

  • Minyak untuk menumis
  • 1/2 biji bawang besar dihiris
  • 1 sudu kecil halba campur
  • Setangkai daun kari

Cara menyediakannya:

  • Masukkan air
  • Masukkan bawang besar, bawang putih, rempah ikan kering dan gaul rata
  • Biarkan mendidih
  • Masukkan karot  dan ubi kentang dan biarkan empok
  • Masukkan ikan kering talang dan biarkan mendidih
  • Masukkan nanas
  • Masukkan santan dan gaul rata
  • Masukkan air asam jawa
  • Masukkan sedikit garam (ikan kering akan memberikan rasa masin pada kuah, jadi berpada dalam meletakkan garam)
  • Masukkan cili hijau dan tutupkan api
  • Di periuk asing, panaskan minyak
  • Masukkan halba campur, daun kari dan bawang besar
  • Tumis sehingga bawang naik bau dan keperangan
  • Tuangkan semua bahan tumis tadi ke dalam periuk utama (tumis darat)

Siap untuk dihidang dengan nasi putih dan sambal belacan.

 

Ayam Masak Merah

Dikenali juga sebagai ayam masak cabai di sini, ianya merupakan lauk kegemaran di setiap kenduri kahwin dan selalu disajikan pada Hari Raya di rumah-rumah Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Ianya akan disediakan bersama nasi tomato ala mami dan acar timun nenas. Berbeza dengan kebanyakan negeri, ayam masak merah disini tidak menggunakan walau setitik sos cili. Kesedapan ayam masak merah memang tiada tandingannya dan resepi terbaik sememangnya menjadi buruan. Dibawah ialah cara menyediakan masak merah terbaik.

penang food guide
Ayam Masak Merah

Bahan-bahan:

  • 1/2 ekor ayam disiang bersih (disarankan buang lemak dan kulit dan dipotong mengikut citarasa)
  • 2 biji tomato dipotong halus
  • 2 helai daun pandan diikat
  • Beberapa helai daun pudina
  • 2 sudu besar serbuk kunyit
  • 1/2 cawan santan cair
  • 1/4 cawan air asam jawa
  • 1 cawan air
  • Garam

Bahan tumis:

  • Minyak untuk menumis
  • Rempah 4 sekawan (Bunga cengkih 4, Bunga Lawang 2, Buah Pelaga 4 dan Kulit Kayu Manis 2)
  • 1 sudu besar rempah kari daging Babas
  • 5 biji cili merah dibuang biji
  • 5 biji cili kering dibuang biji
  • 1/2 biji bawang besar dihiris
  • Seinci halia
  • 3-4 ulas bawang putih
  • 1-2 batang serai diketuk

Cara Menyediakan:

  • Kisar halus halia, bawang putih, cili merah dan cili kering
  • Masukkan rempah kari daging kedalam bahan kisar tadi dan sebatikan
  • Di periuk lain, gaulkan ayam yang telah disiang dengan serbuk kunyit dan garam
  • Panaskan minyak
  • Gorengkan semua ayam tadi dan pindahkan (jangan terlalu garing)
  • Tumiskan rempah empat sekawan
  • Masukkan serai dan bawang besar
  • Tumis sehingga naik bau dan bawang keperangan
  • Masukkan semua bahan kisar tadi
  • Tumiskan sehingga pecah minyak
  • Masukkan daun pandan
  • Masukkan ayam dan gaul rata
  • Masukkan air dan biarkan mendidih
  • masukkan santan dan gaul rata
  • Setelah mendidih masukkan air asam jawa
  • Masukkan tomato
  • Masukkan garam secukup rasa dan tutup dapur
  • Masukkan daun pudina dan (kacang gajus jika mahu)

Siap untuk dihidang bersama nasi tomato dan acar timun

 

Rasam

Rasam atau Rasem ialah sejenis sup berempah yang boleh kita dapati di kedai-kedai nasi kandar dan banana leaves seluruh Malaysia. Di Pulau Pinang, ianya sangat popular dan dijadikan lauk sampingan semasa makan tengahari dan malam. Rasam tomato selalunya dihidangkan di rumah-rumah kediaman Jawi Peranakan ketika musim hujan. Ini kerana ianya berpotensi untuk memanaskan badan dan mengubati selesema. Bagaimana cara membuat rasam ini?

penang indian food
Rasam

Bahan-bahan:

  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1/2 biji bawang besar
  • 2 biji tomato
  • Sedikit daun ketumbar
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • 1 1/2 cawan air
  • Garam

Bahan tumis:

  • Minyak untuk menumis
  • 1 sudu besar halba campur
  • 2 tangkai cili kering dipotong kecil
  • 1/2 biji bawang besar dihiris
  • 5 ulas bawang putih ditumbuk kasar
  • Setangkai daun kari

Cara menyediakannya:

  • Kisar lada hitam, jintan putih, bawang besar dan tomato
  • Panaskan minyak
  • Tumiskan halba campur, bawang besar, bawang putih, cili kering dan daun kari
  • Kacau sehingga bawang keperangan
  • Masukkan bahan kisar tadi dan gaul rata
  • Masukkan serbuk kunyit
  • Masukkan air dan biarkan mendidih
  • Masukkan air asam jawa
  • Setelah mendidih tutupkan dapur
  • Akhir sekali baru masukkan garam secukup rasa
  • Taburkan sedikit daun ketumbar

Siap rasam kita dan sedia untuk dihidang di hari hujan

 

Sup Fucuk

Sup fucuk atau pucuk adalah sup peneman kepada mana-mana lauk bercili. Masyarakat Jawi Peranakan gemar menyajikan sup fucuk sekiranya hari terlalu panas dan gulai atau kari tidak sesuai dimakan. Ianya ialah resepi kesinambungan budaya Nyonya dan Melayu di negara ini, menarik bukan? Berikut ialah cara mudah menyediakannya:

nyonya penang peranakan food
Sup Fucuk

Bahan-bahan:

  • 1 paket fucuk (dipecah-pecahkan)
  • 1 paket suhun
  • 2 biji ubi kentang dipotong kecil
  • 2 biji tomato dipotong empat setiap satu
  • 3-4 ulas bawang putih ditumbuk
  • 1/4 biji bawang dihiris
  • Sedikit daun sup
  • 2 atau 3 cawan air
  • Garam

Cara menyediakannya:

  • Didihkan air
  • Masukkan bawang putih dan bawang besar
  • Masukkan ubi kentang dan biarkan mendidih
  • Masukkan tomato dan gaul rata
  • Masukkan fucuk dan tutup periuk
  • Biarkan mendidih dan masukkan daun sup
  • Masukkan garam dan gaul rata
  • Akhir sekali masukkan suhun dan tutupkan api

Sedia untuk dihidang dengan mana-mana hidangan lain. Sekiranya mahu, boleh juga dimasukkan tauhu, udang atau hirisan ayam ke dalam resepi ini.

 

Gulai Ketam

Sekiranya di negeri-negeri lain, ketam masak cili atau masak lemak sememangnya popular. Tetapi di Pulau Pinang terutamanya dalam masyarakat Jawi Peranakan, gulai ketam adalah kegemaran mereka. Semestinya enak disantap bersama nasi putih dan diratah ketam tersebut. Apa kelainan gulai ketam ini? Jom kita tengok resepinya

resipi gulai ketam pulau pinang
Gulai Ketam

Bahan-bahan:

  • 2- 3 ekor Ketam bunga disiang bersih dan dibelah dua
  • 1 biji tomato dipotong empat
  • 1 batang karot dipotong bulat
  • 1/4 nanas dibuang mata dan dipotong kecil (jika mahu)
  • 1/2 cawan santan cair
  • 1 biji cili hijau dipotong dua
  • 1/2 cawan air
  • Garam

Bahan tumis:

  • 3 sudu besar rempah kari ketam Adabi
  • Rempah 4 sekawan (1 kulit kayu manis kecil, 2 biji pelaga, 2 bunga cengkih dan 1 bunga lawang)
  • 1 inci halia
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/2 biji bawang
  • 1 batang serai diketuk
  • 1 tangkai daun kari

Cara menyediakannya:

  • Kisar halia dan bawang putih
  • campurkan bahan kisar ke dalam rempah kari ketam
  • Panaskan minyak
  • Tumiskan rempah 4 sekawan dan bawang
  • Tumis sehingga bawang keperangan
  • Masukkan bahan kisar tadi dan gaul rata
  • Masukkan serai dan daun kari
  • Tumis sehingga pecah minyak
  • Masukkan tomato
  • Masukkan karot dan nanas, gaul rata dan biarkan mendidih
  • Masukkan ketam
  • Masukkan sedikit air dan biarkan mendidih
  • Masukkan santan dan gaul rata
  • Masukkan garam setelah mendidih
  • Masukkan cili hijau dan tutup api

Siap untuk dihidang gulai ketam istimewa bersama nasi putih.

 

Dhalca

Dhalca sememangnya tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Selalu kita nikmatinya di kenduri kahwin dan restoran-restoran mamak seluruh negara. Tetapi dalca yang sedap semestinya memerlukan resepi yang cukup serba serbinya. Seperti gulai ikan kering talang, dalca juga menggunakan kaedah tumis darat. Jawi Peranakan menjadikan dalca sebagai lauk yang bukan saha dimakan dengan nasi, tetapi juga roti benggali. Apa istimewanya resepi dalca mereka? Jom kita lihat.

penang resepi
Dhalca Daging

Bahan-bahan:

  • 1/4 kilo daging atau daging kambing dipotong kecil. Tulang temulang juga boleh digunakan
  • 1 1/2 cawan Kacang parpu atau dhal (direndam semalaman)
  • 1 1/2 inci halia
  • 4-5 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 2 sudu besar sebuk kari daging Adabi
  • 2 biji ubi kentang dipotong dadu
  • 1 biji karot dipotong dadu
  • 1/2 cawan santan cair
  • 1/4 cawan air asam jawa
  • 1 biji cili hijau dipotong dua
  • Beberapa helai daun pudina
  • 2 cawan air rebusan daging
  • Garam

Bahan tumis:

  • Minyak untuk menumis
  • Rempah 4 sekawan (2 kulit kayu manis, 4 biji pelaga, 4 bunga cengkih, 3 bunga lawang)
  • 1/2 biji bawang besar dihiris
  • Setangkai daun kari

Cara menyediakannya:

  • Rebus daging sehingga empuk (dalam setengah jam)
  • Sementara itu, kisarkan halia dan bawang putih
  • Masukkan daging kedalam periuk bersama 2 cawan air rebusan daging tadi
  • Masukkan kacang parpu dan gaul rata
  • Masukkan bahan kisar tadi dan biarkan mendidih
  • Masukkan serbuk kari daging dan serbuk kunyit, gaul rata
  • Masukkan ubi kentang dan karot
  • Biarkan mendidih sehingga ubi kentang masak
  • Masukkan santan
  • Masukkan asam dan gaul rata
  • Masukkan garam secukup rasa.
  • Masukkan cili hijau dan tutup api
  • Di periuk asing, panaskan minyak
  • Tumiskan daun kari, bawang besar dan rempah 4 sekawan
  • Tumis sehingga bawang keperangan
  • Tuangkan semua tumisan tadi ke atas dalca
  • Masukkan daun pudina

Siap dhalca kita dan sedia untuk dihidang dengan nasi putih, beriani, nasi hujan-panas atau roti benggali

 

Gulai Ikan

Lauk yang sangat popular di Pulau Pinang. Gulai ikan Jawi Peranakan ialah kari yang terkenal dengan aromanya dan menjadi pilihan ramai orang untuk dijamah dengan nasi putih atau roti benggali. Ada yang memilih untuk menyediakan gulai ikan dengan ikan bawal goreng, sangat popular di sini. Cara penyediaannya ialah seperti dibawah:

penang peranakan food
Gulai Ikan

Bahan-bahan:

  • 5 ekor ikan selar kuning atau plata disiang bersih dan dibelah dua (akan jadi 5 bahagian kepala dan 5 bahagian ekor)
  • 2 biji tomato
  • 4 batang bendi
  • 1 biji cili hijau dibelah sedikit (tidak putus)
  • 1 batang serai diketuk
  • 1 batang buah murungai dibelah 4 (jika mahu)
  • 2 sudu besar serbuk kunyit
  • 1/2 cawan air asam jawa (jangan terlalu pekat)
  • 1/2 cawan santan cair
  • 1 1/2 cawan air

Bahan tumis:

  • Minyak untuk menumis
  • 1 1/2 paket rempah kari ikan babas dicampur sedikit air menjadi pes
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • 4 ulas bawang putih ditumbuk
  • 1 sudu kecil halba campur
  • Setangkai daun kari (bahagikan kepada 2)

Cara menyediakannya:

  • Bahagikan ikan tadi kepada 2 bahagian
  • A – 3 bahagian kepala dan 1 bahagian ekor untuk gulai dan
  • B – 2 bahagian kepala dan 4 bahagian ekor untuk digoreng
  • Gaulkan bahagian B dengan 1 sudu besar serbuk kunyit, 1/2 sudu kecil asam jawa dan garam, ketepikan.
  • Panaskan minyak
  • Tumiskan halba campur, sedikit daun kari dan bawang besar sehingga bawang keperangan
  • Masukkan bawang putih dan serai, gaul rata.
  • Masukkan rempah kari ikan dan gaul rata
  • Tumis sehingga pecah minyak dan naik aroma rempah
  • Masukkan 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • Masukkan air asam jawa
  • Masukkan air dan biarkan mendidih
  • Masukkan bendi dan buah murungai , gaul rata
  • Masukkan santan cair dan biarkan mendidih
  • Masukkan ikan bahagian A dan gaul
  • Setelah mendidih, masukkan tomato
  • Masukkan garam dan gaul rata
  • Masukkan cili hijau dan sedikit daun kari, biarkan mendidih seketika, kemudian tutup dapur.
  • Dalam kuali asing, panaskan minyak
  • Gorengkan ikan bahagian B sehingga garing.
  • Angkat dan toskan minyak.

Sedia untuk dihidang bersama gulai ikan tadi, nasi putih dan sambal belacan.

 

Gulai Ayam

Sememangnya menjadi kegemaran ramai, kari ayam atau gulai ayam adalah lauk pilihan di mana-mana restoran dan kenduri kahwin. Terdapat pelbagai jenis gulai ayam, tetapi yang paling memikat ialah gulai tradisi masyarakat Pulau Pinang. Disediakan selalunya pada Hari Raya, ianya kaya dengan rempah dan aroma. Kepekatan kuahnya pasti membuatkan kita menambah nasi. Resepi istimewa turun-temurun gulai ayam kini boleh dicuba sendiri!

peranakan penang food
Gulai Ayam

Bahan-bahan:

  • 1/2 ekor ayam di potong mengikut citarasa. Pastikan dibuang kulit, lemak dan disiang bersih
  • 2 biji ubi kentang dipotong empat setiap satu
  • 1 batang karot dipotong bulat (jika mahu)
  • 1 biji tomato dipotong 8
  • 1 helai daun pandan diikat
  • 1 biji cili hijau
  • Beberapa helai daun ketumbar
  • 1/2 cawan santan cair
  • 1 1/2 cawan air

Bahan tumis:

  • Minyak untuk menumis
  • Rempah 4 sekawan (2 kulit kayu manis, 4 bunga cengkih, 4 pelaga, 3 bunga lawang)
  • 1 1/5 paket rempah kari ayam babas
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • 1 inci halia
  • 5 ulas bawang putih

Cara menyediakannya:

  • Kisar halus bawang putih dan halia
  • Campurkan bahan kisar dengan rempah kari ayam dan sebatikan
  • Panaskan minyak
  • Masukkan rempah 4 sekawan dan bawang besar, tumis sehingga bawang keperangan dan naik aroma
  • Masukkan bahan kisar dan rempah tadi dan gaul
  • Tumis sehingga pecah minyak
  • Masukkan daun pandan
  • Masukkan ayam dan gaul rata
  • Masukkan air dan biarkan mendidih
  • Masukkan ubi kentang dan karot, tutup seketika, biarkan mendidih
  • Masukkan santan dan gaul rata
  • Pastikan ayam dan ubi kentang masak, kemudian masukkan tomato
  • Masukkan cili hijau
  • Masukkan garam dan tutup dapur
  • Taburkan daun ketumbar (boleh juga menggunakan daun pudina)

Siap untuk dihidang bersama nasi putih, nasi tomato atau nasi beriani.

Itu dia 9 hidangan istimewa dengan resepi lengkap turun temurun oleh masyarakat Jawi Peranakan. Kalau rasa macam tidak berkesempatan untuk memasak, bolehlah ke The Lengkuas Cafe di Jalan Argyll, Pulau Pinang yang juga menyajikan menu khas menjilat jari, digemari masyarakat Pulau Pinang!.

Nantikan juga edisi ke dua resepi Jawi Peranakan dari Kokonutlist. Kali ini dengan lebih resepi yang unik seperti kurma kambing, daging masak kicap dan gulai ikan cuka!. Selamat mencuba!