Cara mudah membuat Mushroom Soup & Broccoli Soup

SOUPS

Seronok makan mushroom soup, broccoli soup dan carrot soup ala barat di restoran fast food macam Pizza Hut atau restoran western lain. Ha, apa kata kita cuba buat sendiri. Tengok cendawan dalam fridge dah nak bertukar warna, broccoli pun sama dah mula kekuningan, jangan buang ya, rugi. Apa kata malam ni kita buat resepi di bawah, mudah tapi sangat lah sedap!

resepi simple sup cendawan macam pizza
mushroom soup

Mushroom Soup

Waktu penyediaan lebih kurang 30 minit. Untuk hidangan 2 – 3 orang.

Bahan-bahannya

Bahan stok

  • 4 cawan air
  • Setengah biji bawang besar (jangan dibuang kulitnya)
  • 1 ulas bawang putih (jangan dibuang kulitnya)
  • Tulang ayam yang isinya telah diambil (dengan isi pun boleh)
  • Sesudu kecil garam

Bahan soup

  • 5-6 batang cendawan butang (nak campur dengan cendawan tiram pun boleh)
  • Setengah biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 tangkai daun thyme (pilihan)
  • 2 sudu besar mentega
  • 2 sudu besar tepung gandum
  • Setengah cawan susu segar

Cara membuatnya

  • Masukkan semua bahan stok tadi dan rebuskan sehingga mendidih selama 15-20 minit.
  • Sementara itu, hiris halus cendawan, boleh cincang atau semi-blend jika mahu.
  • Hiris halus bawang putih dan bawang besar.
  • Panaskan periuk dan cairkan satu sudu besar mentega
  • Masukkan bawang besar dan bawang putih yang dah dihiris tadi dan kacau rata. Pastikan anda terus kacau ya.
  • Masukkan sesudu lagi mentega dan masukkan pula cendawan, kacau rata jangan berhenti.
  • Setelah cendawan dan bawang tadi betul-betul bertukar warna keperangan dan sebati, masukkan 2 tepung gandum sedikit demi sedikit.
  • Kacau sehingga sebati dan jadi seperti pes.
  • Masukkan setangkai daun thyme (daun thyme ni pilihan, jika ada, ianya dapat membantu memberikan bau yang sangat sedap untuk mushroom soup kita)
  • Kemudian tapiskan stok kita tadi dan masukkan ke dalam periuk, kacau rata. (kalau yang guna isi ayam tu, boleh lah ratah saja ya lepas tu, jangan dibuang pula)
  • Setelah sebati dan mendidih, masukkan setengan cawan susu segar dan kacau rata.
  • Perasakan dengan garam dan  lada hitam.

Siap Mushroom Soup kita. cepat dan mudah, sedia untuk dihidang dengan garlic bread atau roti biasa, confirm licin!

 

nak buat apa dengan sayur brokoli
broccoli soup

Broccoli Soup

Waktu penyediaan lebih kurang 30 minit. Untuk hidangan 2 – 3 orang.

Bahan-bahannya

Bahan stok

  • 4 cawan air
  • Setengah biji bawang besar (jangan dibuang kulitnya)
  • 1 ulas bawang putih (jangan dibuang kulitnya)
  • Tulang ayam yang isinya telah diambil (dengan isi pun boleh)
  • Sesudu kecil garam

Bahan soup

  • Satu mangkuk sayur broccoli yang dipotong halus atau separa blend
  • 1 biji ubi kentang dipotong halus atau separa blend
  • Setengah biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1/4 cawan susu segar
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar minyak zaitun atau minyak sayuran
  • 1 sudu besar mentega

Cara membuatnya

  • Masukkan semua bahan stok tadi dan rebuskan sehingga mendidih selama 15-20 minit.
  • Sementara itu, hiris halus bawang besar dan bawang putih
  • Panaskan periuk dan masukkan satu sudu besar minyak zaitun
  • Masukkan bawang putih dan bawang merah
  • Masukkan mentega, kacau rata sehingga bawang keperangan.
  • Masukkan sesudu besar tepung gandum dan kacau rata pastikan tepung tidak berkumpul.
  • Masukkan broccoli dan ubi kentang dan kacau rata
  • Tapis dan masukkan stok tadi, biarkan mendidih.
  • Masukkan susu segar
  • Didihkan selama 15 minit sambil lenyekkan broccoli dan ubi kentang (kalau dah di separa blend lebih senang)
  • Perasakan dengan garam dan lada hitam.

Siap Broccoli Soup kita, memang tak akan percaya broccoli boleh jadi sedap macam ni!

Bolehlah cuba dua resepi simple ni untuk dinner malam ni ye tak? kalau ada dipping sauce terbaik untuk chips atau nachos lagilah best!